Monday 28 May 2012

demi masa....

Semua ibu bapa berkata mereka sayangkan anak, tetapi mengapa si kecil tidak berasakan demikian? Kesibukan ibu bapa menyebabkan masa diluangkan dengan anak terbatas. Anak yang cemerlang mempunyai hubungan kekeluargaan erat dan ibu bapa banyak meluangkan masa dengan mereka. Lebih banyak masa bersama ibu bapa, semakin dirasakan kasih sayang itu. Tiada sesiapa boleh menggantikan kehadiran ibu bapa. Wang ringgit tidak boleh membeli kebahagiaan anak.

Kerap kali ibu bapa cuba menggantikan masa dengan kebendaan dan kewangan. Mereka belikan apa saja yang anak mereka mahukan. Mereka berikan wang setiap kali dipinta. Namun, ia hanya menjadi keseronokan seketika sedangkan jiwa mereka kosong dengan kasih sayang.

Ini bukanlah bermakna anak yang terbiar tiada yang berjaya. Tetapi, apabila keharmonian keluarga terjejas dan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerja dan urusan masing-masing, disiplin anak terbiar. Mereka malas menyiapkan kerja sekolah, ponteng kelas agama, salah pilih kawan, buang masa dengan permainan video dan asyik berinternet.

Berikut perkara yang perlu ibu bapa lakukan bagi memastikan anak mereka cemerlang dunia dan akhirat.
gambar ikhsan mr google :)

1. Berikan masa bersama seisi keluarga. Wujudkan aktiviti keluarga seperti makan bersama, solat berjemaah, bercuti, berkelah, beriadah, bermain dan menonton.  Apabila sudah bersama pasti banyak cerita, gurauan dan kenangan. Semua ini mampu meningkatkan estim diri anak. Anak yang sayangkan keluarga dan ibu bapa tidak akan sanggup mengecewakan dan melakukan sesuatu yang memalukan nama baik keluarga.

2. Berikan masa untuk setiap anak secara personal. Kadangkala ada sesuatu yang mahu disampaikan tanpa diketahui adik-beradik yang lain. Oleh itu, adakan masa secara personal. Jika apa yang disampaikan itu satu rahsia maka ibu bapa perlu rahsiakan, jangan sampai anak tidak percayakan kita lagi.

3. Berikan anak masa bersendiri. Ada ketikanya anak perlukan masa untuk dirinya. Ketika itu usah ganggu mereka. Biarkan mereka dalam biliknya dan melakukan apa saja asalkan tiada sesuatu yang buruk dilakukan. Ketuk bilik sebelum masuk sebagai menunjukkan yang kita hormati haknya sebagai anak.

4) Ambil cuti untuk bersama anak. Usah sayang cuti yang ada. Gunakan sebahagian daripada cuti yang ada untuk bersama dengan anak. Apabila bercuti dengan anak pastikan mereka diberitahu bahawa kita memang sengaja ambil cuti untuk bersama dengan mereka agar anak lebih menghargai masa yang diluangkan itu.

5. Temu janji dengan anak sama penting dengan orang lain. Kita berjanji membawa mereka makan di luar, tetapi apabila tiba masanya, dibatalkan dengan pelbagai alasan.  Bayangkan anak begitu teruja menanti detik bersama ibu bapa malah mereka sanggup membatalkan program dengan kawan-kawan semata-mata mahu bersama orang disayang, tetapi akhirnya mereka hampa. Jika sekali dua mungkin boleh diterima anak, tetapi apabila sering begitu, anak berasakan bahawa ibu bapa tidak pentingkan hati dan perasaan mereka. 

6. Adakan masa untuk mendengar luahan hati dan masalah anak. Ibu bapa tidak suka anak mereka bermasalah, tetapi hakikatnya mana ada manusia hidup yang tanpa masalah. Masalah adalah satu proses yang mematang dan mendewasakan anak. Ramai ibu bapa cuma mahu mendengar cerita yang baik sahaja. Mereka mahu anak mereka dipuji guru dan masyarakat, keputusan yang baik, anugerah dan menang pertandingan. Tetapi, anak itu manusia biasa. Ada ketikanya markah peperiksaan merosot, guru menegur kelakuannya, tidak mendapat kedudukan yang baik dalam kelas atau gagal memenangi pertandingan. Apabila tertekan, tempat mengadu ialah ibu bapa. Tetapi, adakah kita bersedia mendengar cerita dan luahan hati anak ini?

7. Cari masa hadir dalam acara penting anak. Kehadiran ibu bapa adalah bukti kita sayangkan mereka. Ia satu pengorbanan mudah buat si anak. Bayangkanlah hati anak apabila melihat ibu bapa kawan-kawannya hadir. Jangan hampakan mereka sebaliknya beri sokongan moral. 

No comments:

Post a Comment